Tuesday, May 8, 2007

PUDING KARAMEL


Bagaimana hendak mendapatkan puding karamel (jenis kukus) yang bertekstur halus? Anda mesti memukul telur dengan gula hingga gula larut. Jika tidak, butiran gula akan kelihatan bila puding anda masak. Sebaik-baiknya gunakan telur paling besar atau Gred A. Boleh menggunakan mesin pemutar pada tahap minima atau memukul campuran tadi dengan pemutar belon.

Sesetengah daripada kita mungkin mempunyai masalah utama iaitu membuat gula perang. Jadi, apakah caranya untuk sukar mendapatkan gula perang yang elok warnanya? Gunakan kuali kalis lekat atau non-stick bila membuat gula perang. Kuali berdasar berat atau heavy-based pan juga sesuai. Ini untuk mengelakkan gula hangus terlalu cepat dan baunya tidak harum.

Ada dua cara untuk membuat gula perang. Pertama, jerang gula pasir hingga keperangan, ketepikan dari api kemudian tuangkan air. Kacau atas api perlahan hingga gula hangus tadi larut sepenuhnya.

Satu cara lagi adalah menjerang air dan gula pasir di atas api sederhana. Kacau sekali-sekala hingga gula larut. Kemudian biarkan hingga campuran air gula pekat dan berbuih halus. Waktu ini anda hendaklah perhatikan selalu kerana air gula akan menjadi cair semula. Warnanya akan berubah dari kuning pucat ke perang keemasan. Segera angkat dan tuangkan ke dalam acuan atau tin berlengser marjerin. Kemudian baru dituangkan campuran telur yang lain.

Kenapa kadang kala bahagian gula hangus terpisah daripada pudingnya? Ini adalah kerana anda tidak terus menuangkan campuran telur ke atasnya. Jika anda menunggu lama, lapisan gula hangus mungkin mengeras. Inilah sebabnya bila anda terbalikkan puding yang sudah masak, lapisan gula hangus melekat di dalam acuan.

Selain susu cair, susu segar atau susu UHT juga boleh digunakan. Sukatan air dan susu sama banyak. Jadi, anda hanya perlu gunakan tin susu yang sama untuk mengisi air. Jika anda inginkan warna puding yang lebih kuning, boleh ditambah sedikit pewarna kuning atau gantikan tepung jagung dengan tepung kastard.

PUDING KARAMEL
6 biji telur
80 gm gula kaster
25 gm tepung kastard
15 gm tepung jagung
410 ml susu cair
410 ml air
1 camca teh vanila
80 gm gula pasir
100 ml air

Cara membuatnya
1. Pukul telur dengan gula kaster hingga gula larut.
2. Masukkan tepung kastard dan tepung jagung, kacau sebati.
3. Tuangkan susu, air dan vanila; kacau rata-rata.
4. Jerang gula dan air hingga menjadi gula hangus.
5. Tuangkan ke dalam acuan berukuran 22 cm yang sudah dilengser dengan marjerin.
6. Tapiskan campuran telur ke atas gula hangus.
7. Kukus selama 35-40 minit atau hingga masak.

(Penulisan oleh Celebrity Chef Norzailina Nordin)

2 comments:

ibrahim yahaya said...

Sdr Chef Lina,

Puding karamel memang sedap. Tetapi kalau nak makan tu, orang macam saya ni kena tengok-tengok sikit, takut terus mengembang.

Unknown said...

tahniah kerana bukak blog masakan. First time saye tengok. Buku Chef kuih muih melayu saye beli.
Kudos!!